Skip to main content

Kenapa coklat saya sukar dicairkan?

Masalah yang biasa dihadapi oleh pembuat coklat yang masih baru berkecimpung dalam bidang pembuatan coklat ini ialah coklat tersebut sukar untuk dicairkan.

Kenapa coklat tersebut sukar untuk dicairkan?

Antara faktor coklat tersebut sukar dicairkan ialah coklat tersebut telah terkena air.

Ada beberapa situasi yang mana coklat tersebut boleh terdedah kepada risiko terkena air.

#1. Cara mencairkan coklat yang salah.

Ramai pembuat coklat yang masih baru mencairkan coklat menggunakan teknik double boiler. Tidak salah menggunakan teknik tersebut tetapi pastikan bekas yang mengandungi coklat tersebut lebih besar berbanding bekas yang mengandungi wap air.

Jika bekas yang mengandungi coklat tersebut kecil berbanding bekas mengandungi wap air, coklat tersebut berisiko untuk terdedah pada wap air.

 

#2. Menggunakan jenis pewarna yang salah.

Ramai pembuat coklat yang baru akan membeli sebarang jenis pewarna coklat untuk mewarnakan coklat. Hakikatnya pewarna yang sesuai untuk mewarnakan coklat ialah jenis minyak (Oil base) bukan pewarna biasa yang orang gunakan untuk mewarnakan kek (jenis air).

 

#3. Coklat tersebut telah terdedah terlalu lama kepada udara.

Udara kita mengandungi wap air dalam molekul yang kecil. Apabila coklat telah terdedah terlalu lama kepada udara, sebenarnya coklat tersebut telah menyerap kelembapan sedikit demi sedikit sehingga akhirnya kandungan lembap yang diserap menjadi semakin banyak sehingga menimbulkan masalah pada coklat tersebut.

 

Kenapa coklat tak boleh terkena air?

Apabila coklat terkena air, kandungan gula didalam coklat akan mula bergumpal pada air tersebut. Hal ini menjadikan coklat tersebut sukar untuk dicairkan dan permukaan coklat akan menjadi berpasir.

Info: Situasi ini berlaku jika coklat tersebut hanya terkena pada kuantiti air yang sedikit.

 

Apa yang boleh dilakukan jika coklat telah terkena air?

Apabila coklat telah terkena air, antara perkara yang boleh dilakukan ialah jadikan coklat tersebut sebagai ganache. Jangan dibuang coklat tersebut.

Boleh cuba resipi coklat Ganache tersebut di sini!

 

Kesimpulan

Coklat yang terkena air akan bermasalah untuk dicairkan. Jadi, pastikan kita gunakan teknik yang betul untuk cairkan coklat, gunakan pewarna jenis minyak untuk mewarnakan coklat dan simpan lebihan coklat pada bekas yang kedap udara. 🙂

*****

KLIK SINI untuk pelajari asas membuat coklat! 🙂

*****

Cara Meletakkan Harga Jualan Coklat

Pada perkongsian tips pada kali ini, saya nak mengupaskan tentang salah satu masalah yang sering dihadapi oleh usahawan coklat yang baru iaitu Cara Menetapkan Harga Jualan Coklat.

Bagaimanakah cara untuk menetapkan harga coklat?

“Bolehkah kita ikut harga coklat yang ditetapkan pesaing kita?”

Boleh sahaja asalkan kita tidak rugi. 🙂

Tentang harga, kita perlu pertimbangkan kos barang untuk menghasilkan coklat tersebut.

Setiap tempat, harga kos ialah berbeza. Sebagai contoh ialah harga coklat Compound. Harga coklat Compound di Malaysia ialah sekitar RM12 ke RM18. Harga tersebut agak jauh bezanya. Disebabkan itu kita tidak boleh ikut harga pesaing jikalau perkara tersebut akan menyebabkan kita rugi.

 

Cadangan untuk meletakkan harga jualan coklat

Plan dahulu berapa keuntungan yang kita nak ambil untuk setiap coklat. Saya cadangkan untuk ambil keuntungan sekali ganda dari kos coklat.

Contoh, jika kos untuk menghasilkan sebiji coklat ialah RM0.20. Kita boleh letakkan harga jualan coklat tersebut RM0.40. Jadi keuntungan yang akan kita dapat ialah sekali ganda berbanding kos iaitu RM0.20 untuk sebiji coklat. 🙂

 

Harga jualan coklat saya terlalu tinggi berbanding pesaing kerana kos saya yang tinggi. Bagaimanakah cara untuk saya mengatasi pesaing saya?

Sebagai usahawan, kita tidak perlu nak bersaing harga dengan memberikan harga yang rendah untuk mengatasi pesaing kita sehingga menyebabkan kerugian.

Apa yang perlu kita lakukan ialah cari sebab kenapa bakal pelanggan perlu membeli dari kita. Berikut ialah antara faktor yang bakal pelanggan pertimbangkan sebelum membeli coklat jenama anda:

  1. Kualiti coklat anda.
  2. Kualiti servis anda.
  3. Kelainan coklat anda.
  4. Cara anda melayan pelanggan.
  5. Tawaran yang anda berikan.
  6. Jaminan kepuasan.

 

Mudah-mudahan perkongsian kali ini dapat membantu anda dalam meletakkan harga coklat jenama anda dan bersaing dengan pesaing anda. 🙂

Tips membuat coklat yang unik (MESTI BACA!)

Assalammualaikum dan salam sejahtera semua.
Maaf kalau sudah lama tidak berkongsi tips di sini.

Kali ini saya nak kongsi sedikit tips tentang cara menghasilkan coklat yang unik. ;)Kepada pembaca Panduan Buat Coklat GC, GC Mag dan Blog GC, mesti anda semua tahu bahawa saya banyak menekankan tentang aspek menghasilkan coklat yang unik.

Jadi, kepada yang masih memerah otak untuk menghasilkan keunikkan pada coklat jenama sendiri, mungkin tips ini akan membantu. 🙂

Tips 1 – Gunakan acuan yang tidak banyak digunakan oleh pesaing

Bentuk coklat yang berbeza dapat membantu kita dalam menarik perhatian pelanggan.

Bayangkan di internet ini, berapa ramai pesaing kita menggunakan acuan berbentuk hati (LOVE)?

Sangat ramai dan kebanyakkannya bentuk love tu sama.

Kalau coklat jenama kita menggunakan bentuk love yang berbeza dan lebih menarik dari pelanggan kita, ianya satu kelebihan bagi kita dalam menarik perhatian pelanggan. 🙂

 

Jadi, bagaimana untuk mendapatkan acuan yang berbeza ini?

Beli acuan yang hanya dijual di luar negara atau hanya boleh didapati di satu-satu tempat sahaja. Sebagai contoh, acuan yang dijual di laman web ini:

http://astore.amazon.com/tcmf.chocolatemolds-20

Mungkin harganya sedikit mahal berbanding yang dijual dipasaran Malaysia. Tetapi tidak rugi untuk mendapatkannya kalau ianya boleh membantu anda menjenamakan coklat anda. 🙂

 

Tips 2 – Gunakan campuran bahan yang berbeza yang tidak digunakan oleh pesaing

Dalam hal ini, saya sendiri telah mencuba dengan menggunakan Nutella sebagai filling coklat tersebut.

Memang ramai usahawan coklat yang tak berani untuk menggunakan Nutella dalam pembuatan coklat mereka kerana harganya yang sedikit mahal.

Tetapi tidak perlu bimbang kerana coklat tersebut pasti akan laku (berdasarkan pengalaman saya) kerana Nutella memang sudah ada peminatnya sendiri. Kadang-kadang pengguna ingin merasakan sesuatu yang berlainan sedikit berbanding kebiasaan. Jadi, tidak salah kalau kita mencuba. 🙂

 

Tips 3 – Cipta pembungkusan yang berbeza berbanding pesaing

Untuk merealisasikan tips ini, kita memerlukan sedikit kreativiti. Sebagai contoh, kita lihat gambar disebelah.

Dekorasi pada packaging tersebut telah dihasilkan oleh saya sendiri untuk coklat jenama C’Inspire yang mana saya menggunakan konsep bunga-bungaan sebagai tema jenama coklat tersebut.

Kalau kita lihat, di Malaysia memang masih belum ada pesaing yang menggunakan idea dekorasi tersebut dalam mencipta keunikkan pada coklat jenama mereka.

Mungkin anda boleh menggunakan idea tersebut dalam mencipta keunikkan pada coklat jenama anda. =)

 

Tips 4 – Menawarkan servis customize design coklat.

Servis customize design coklat ini sebenarnya ramai yang malas nak buat terutama seperti coklat Angry Bird dalam gambar ini. Kebanyakkan usahawan lebih gemar untuk membeli edible image di kedai dan lekatkan di atas acuan oreo.

Jadi, ini sebenarnya peluang keemasan untuk anda mencipta sendiri keunikkan dalam pembuatan coklat anda. Yang penting anda ada azam untuk membuatnya. 🙂

 

Sekian sahaja perkongsian tips pada kali ini. Semoga kesemua tips membuat coklat yang unik ini dapat memberi manfaat kepada semua. =)

“Perniagaan coklat bukan semata-mata kerana wang. Tetapi ianya suatu seni tangan yang tidak ternilai. ;)”